MELAKA — Terkejut, itu reaksi Ketua Jurulatih Felda United, B. Sathianathan selepas melihat pasukannya diratah 1-6 oleh Melaka United pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Lebih mengecewakan Sathianathan, kesilapan pemainnya melepaskan empat gol mudah adalah punca kekalahan besar mereka, bagaimanapun beliau berharap anak didiknya dapat bangkit pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti.
“Saya tidak sangka. Empat daripada gol itu umpama kita bagi begitu sahaja kepada pihak lawan. Kekalahan yang memalukan. Dalam sejarah saya mengendalikan liga saya tidak pernah kena seperti ini. Pemain sudah hadiahkan saya satu rekod untuk saya simpan.
“Apa yang kita boleh buat sekarang ialah menaikkan kembali semangat mereka dan saya berharap agar mereka bangkit pada suku akhir selain jadikan ini sebagai satu pengajaran,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.
Juara Liga Premier, Felda United bakal ke suku akhir selaku naib juara kumpulan B walaupun diaibkan dengan kekalahan 1-6 kepada Melaka pada perlawanan tersebut.
Ketika ditanya sama ada akan menggugurkan pemain berikutan prestasi hambar pada perlawanan itu, Sathianathan yang juga pemenang anugerah Jurulatih Terbaik 2017 berkata pihaknya masih memberi kepercayaan kepada pemain sedia ada.
“Saya tidak boleh ambil pemain baharu kerana ini semua adalah pemain saya. Apa yang penting adalah kekuatan mental mereka. Bagi tempoh seminggu ini kita akan fokus pada persediaan mental sebelum menentang Terengganu FC,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan melahirkan rasa terkilannya meskipun menang besar 6-1 ke atas Felda United namun beliau tetap menerima hakikat bahawa pasukannya gagal mara ke suku akhir.
“Terkilan dan ini adalah satu kerugian besar. Felda United bukan tim biasa. Manakala team kita kali ini lebih teratur. Namun kita akur kerana jika mahu ke peringkat seterusnya, pada awal lagi pasukan kita kena catatkan kemenangan.
“Bagaimanapun, kita menyifatkan kemenangan ini sebagai kemenangan moral untuk manfaat Persatuan Bola Sepak Melaka United dan penyokong. Kita harap pasukan dapat mengekalkan prestasi pada masa akan datang,” katanya. — BERNAMA