KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan MIC telah memberikan persetujuan untuk UMNO berkerjasama dengan PAS, namun, hanya sebagai rakan dalam gagasan pembangkang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCA yang sebelum ini mahu menyingkirkan UMNO daripada BN hanya akan berbuat demikian sekiranya kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu membuat gabungan rasmi.
“Saya baru sahaja berkomunikasi dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau menyatakan sekiranya UMNO dan PAS menubuhkan gabungan, maka, prinsip itu tidak dipersetujui kerana mereka (MCA) adalah parti komponen.
“Tetapi cadangan yang dilakukan oleh UMNO dan PAS adalah sebagai rakan di dalam gagasan pembangkang. Jadi sebagai pembangkang maka ini sebenarnya telah dipersetujui oleh rakan-rakan BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa. – UTUSAN ONLINE