JOHOR BAHRU – Konsert Amal Doa Buat Kekasih di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, malam ini, berjaya meraih dana RM2.31 juta bagi membantu pesakit kanser.
Konsert anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dengan kerjasama Rasa Karya Music Sdn Bhd dan MG Network itu dijayakan tiga penyanyi tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah serta Ayai Ilusi.
Berangkat menyaksikan konsert, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, yang juga penaung YKTLJ.
Turut berangkat, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Hadir sama, Anggota Lembaga Pengarah YKTLJ Datuk Ismail Karim, Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ Mohd Anizam Jamian serta 100 pesakit kanser.
Mohd Anizam yang ditemui pemberita berkata kesemua dana itu diperoleh hasil penjualan tiket menggunakan konsep pakej penajaan meja iaitu pakej Platinum berharga RM100,000, pakej Gold (RM50,000), pakej Silver (RM30,000), pakej Bronze (RM10,000) dan Individu yang berharga RM1,000 bagi setiap meja sejak 1 Ogos sehingga malam ini.
“Pada malam ini, sebanyak 107 meja terjual dengan melibatkan kira-kira 1,000 tetamu,” katanya.
Sementara itu, buat pertama kalinya Ayai menyampaikan lagu ciptaannya sendiri, berjudul ‘Cebisan Cahaya’ dengan lirik nukilan Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
Antara lagu yang dipersembahkan Ramli adalah Hilang Gelap Terbit Terang, Adam Hawa, Teratai, Camelia dan Nyanyian Serambi manakala Dayang Nurfaizah menyampaikan lagu Di Pintu Syurga dan Lelaki Teragung.
Ramli dan Dayang Nurfaizah turut menyerikan persembahan dengan lagu duet Musafir Rindu, Doa Buat Kekasih dan Bukan Kerana Nama.
YKTLJ yang diilhamkan sendiri Almarhum Tunku Abdul Jalil sewaktu hayatnya, dilancarkan pada 2016 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dengan objektif membantu dan memudahkan pesakit kanser serta keluarga mereka.
Tunku Abdul Jalil, 25, yang merupakan anakanda keempat daripada enam beradik dan putera kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah mangkat pada 5 Dis 2015 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, akibat kanser hati. – BERNAMA