PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan siasatan berikutan aduan seorang guru besar dari Pahang yang membuat tuntutan lebihan bayaran Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata RMT merupakan program pemberian makanan tambahan oleh kerajaan kepada murid-murid sekolah rendah daripada golongan berpendapatan rendah terutamanya dari luar bandar.
Ia berkata setiap murid yang layak akan menerima bantuan RMT bernilai RM2.50 bagi Semenanjung dan RM3 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan untuk selama 190 hari persekolahan.
“Program RMT yang dilaksanakan di sekolah-sekolah adalah berada di bawah tanggungjawab guru besar, sama seperti pengurusan melibatkan wang kerajaan yang lain, sebarang salah laku dalam pengurusannya akan tetap diambil tindakan tanpa sebarang kompromi,” katanya.
KPM berharap agar mana-mana pihak boleh membuat aduan secara rasmi sekiranya mengesyaki terdapat salah laku pihak pengurusan sekolah dalam mengendalikan RMT.
Baru-baru ini, aduan salah laku seorang guru besar berhubung tuntutan bayaran RMT ditularkan menerusi media sosial. – BERNAMA