PETALING JAYA – Lebih banyak program kesukanan akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, sekiranya kerusi itu dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini.
Calon PH Halimey Abu Bakar berkata, pelaksanaan program sukan untuk rakyat di kawasan itu adalah tidak mustahil kerana terdapat banyak kawasan lapang sedia ada bagi kegunaan tersebut.
“Berdasarkan terdapat banyak kawasan lapang di DUN Seri Setia ini, saya percaya rancangan untuk mengadakan program sukan untuk rakyat tidak akan berdepan halangan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.
Menurut bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, beliau akan memberi perhatian serius untuk mempromosikan sukan berprestasi tinggi seperti bola sepak, sepak takraw dan badminton.
Malah, katanya, beliau berhasrat menubuhkan sebuah akademi bola sepak di DUN tersebut bertujuan untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan remaja, terutama di peringkat persekolahan.
Bagi mengimbangi trend dan kegilaan remaja terhadap permainan di aplikasi telefon pintar, Halimey turut bercadang untuk mempromosikan karnival atau pertandingan sukan.
Beliau berkata penganjuran karnival atau pertandingan sukan itu diharap akan mengawal kecenderungan remaja terhadap permainan di gajet, dan menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti luar.
“Selain itu, sebagai seorang penggemar aktiviti sukan berbasikal, saya juga merancang untuk membuat satu trek berbasikal baru melibatkan kawasan Taman Medan melalui Desaria (PJS5) dan masuk ke kawasan sekolah di PJS4 dan PJS 5.
“Kita mengambil kira kebaikan di mana anak-anak boleh berbasikal ke sekolah, mengurangkan kos sara hidup dan lebih selamat jika ada trek baru ini nanti,” katanya.
Halimey berdepan calon PAS Dr Halimah Ali pada PRK itu yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu. – BERNAMA