BANGKOK – Akibat dendam dan tamak, seorang lelaki sanggup mengupah tiga pembunuh bagi membunuh adik perempuan dan suaminya.
Menurut polis, mayat wanita tersebut, Nhot Suddaen, 61, dan suaminya, Alan Hogg, seorang pesara berbangsa British ditemukan tertanam di halaman taman kediaman mereka, hari ini.
Mayat Hogg ditemukan dengan kesan tembakan manakala Nhot dipercayai terbunuh akibat hentakan objek keras di kepala.
Polis percaya para pembunuh tersebut diupah sebanyak 50,000 baht (RM6,374).
“Dua suspek berjaya ditahan, manakala dua waran tangkap lagi telah dikeluarkan, termasuk ke atas abang mangsa, Varut Rattanasajjakit yang dipercayai dalang kepada pembunuhan ini,” kata Ketua Polis wilayah Prae, Colonel Manas Kerdsukho.
“Motif pembunuhan adalah konflik keluarga yang berpanjangan termasuk perebutan harta,” kata beliau.
Media Britain melaporkan Hogg, 64, sebagai seorang jutawan dari Edinburgh. – AFP