MULA-MULA ditipu dengan janji pinjaman PTPTN akan dimansuhkan, kemudian, dihina sebagai tidak amanah bila tidak membayar.
Inilah yang berlaku kepada para peminjam PTPTN yang belum melunaskan bayaran hutang itu.
Tidak habis-habis lagi mereka menjadi mangsa, diberi janji palsu, diajak memaki hamun kerajaan sebelum ini, dan akhirnya ditipu begitu sahaja.
Kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menambahkan lagi luka peminjam-peminjam PTPTN yang mengharapkan janji Pakatan Harapan dulu menjadi realiti.
“RM36 bilion hutang tidak dibayar balik kepada PTPTN ini…saya malu tetapi mereka (peminjam) tidak.
“Ini adalah sikap yang biasa bagi sesetengah bangsa… bukannya mereka tidak mampu, dengan gaji RM2,000 boleh saja mereka membayar balik RM100 sebulan tetapi mereka tidak berbuat demikian,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana sempena Hari Jepun 2018 Malaysia-Japan International Institute if Technology (MJIIT) dan pelancaran pembukaan Residensi Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) di sini, hari ini.
Malangnya selepas dibuai dengan janji-janji manis, mereka dihadapkan pula dengan nasihat kewajipan membayar hutang, kemudian, kemudian syarat baharu pula diberi yakni perlu mendaftar dan gaji tidak lebih RM4,000.
Akhirnya, apa yang sebenarnya diluahkan juga. Sebenarnya memang penghapusan PTPTN tidak dapat dilaksanakan. Itu semua hanya janji demi mendapatkan undi.
Maknanya semua aksi protes, berguling, merempuh, tidur di dalam khemah dan memaki hamun hanya untuk menjalankan kerja kotor orang politik.
Selepas orang politik berkuasa, dan sebahagian yang terlibat protes dulu diberikan ghanimah, janji itu dilupakan begitu sahaja.
Pemimpin yang kaya raya menghina “sesetengah bangsa” bergaji RM2,000 sebulan yang dituduh sengaja tidak mahu membayar hutang itu.
Kenapa tidak cakap sahaja orang Melayu, seperti yang biasa beliau rungutkan sejak berpuluh tahun lalu.
Inilah penghujung cerita PTPTN dan pendidikan percuma yang dijadikan modal mencerca bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dulu. – Mynewshub.tv