BONGKAR… Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada kes rasuah mengundang reaksi terkejut daripada pelbagai pihak.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dalam reaksi segera mengutuk Pakatan Harapan (PH) yang berulang kali mengatakan ia konon menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Selamat tinggal kedaulatan undang-undang. Di Malaysia, anda tidak bersalah apabila anda berkuasa. Mahkamah hanya untuk (hukum pihak) pembangkang,” kata Annuar dalam nada sinis ketika ulas isu pelik itu.
Beliau mendedahkan ramai pemberita memintanya memberi komen berhubung keputusan Peguam Negara tiba-tiba boleh menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng dan keputusan mahkamah menggugurkan kes itu.
“Komen saya adalah: biarlah rakyat menilainya,” kata Annuar merujuk tindakan mahkamah itu di George Town pada Isnin menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.
Ia berhubung pembelian sebuah banglo mewah dijual Li Koon dikatakan di bawah harga pasaran semasa selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan sahaja pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengkritik tindakan Pejabat Peguam Negara dan beliau turut gelarkan sebagai “pendakwaan terpilih”.
“Jabatan Peguam Negara memalukan. Keputusan ini sangat tidak patut dan menjejaskan komitmen mahkamah terhadap kedaulatan undang-undang,” jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mengetuai unit perundangan UMNO pula menuduh Tommy Thomas memberi keutamaan kepada pemimpin PH.
“Keputusan membebaskan Guan Eng merendahkan tahap kredibiliti Pejabat Peguam Negara,” katanya yang juga bekas menteri undang-undang dalam satu kenyataan media di ibu negara.
“Peguam Negara mesti jelas perkara ini dengan jelas kerana ini boleh timbul persepsi negatif yang boleh jadi ancaman kepada doktrin pemisahan kuasa di negara ini dan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan dalam sistem pentadbiran negara.”
Beliau memetik kenyataan terbuka Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud pada permulaan prosiding rasuah itu, berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Guan Eng membeli sebuah rumah daripada Li Koon.
Ia dijual pada harga yang diketahui di bawah paras pasaran dan Guan Eng ada pada masa pembelian dibuat, membenarkan permohonan syarikat milik Li Koon menukar status tanah pertanian kepada perumahan.
“Jadi ini menimbulkan persoalan bagaimana Pejabat Peguam Negara boleh mengatakan tidak ada kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik balik pertuduhan. Ini tidak masuk akal sama sekali.
“Ia menunjukkan Peguam Negara yang dilantik kerajaan PH mula menyalahgunakan kuasa budi bicara yang diberikan di bawah undang-undang dan memberikan keutamaan dan pilih kasih terhadap pemimpin PH.”
Azalina juga menggesa Majlis Peguam Malaysia untuk segera mengadakan mesyuarat tergempar dan menyatakan pendiriannya mengenai perkara tersebut.
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng didakwa menggunakan jawatan awam atau kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan kepada diri dan isterinya, Betty Chew.
Ia dilakukan dengan meluluskan pemohonan daripada Magnificent Emblem Sdn. Bhd. menukar status tanah pertanian kepada tanah perumahan dalam mesyuarat Exco pada 18 Julai 2014.
Guan Eng juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana guna kedudukan untuk dapat suapan dengan beli sebuah banglo berharga RM2.8 juta daripada Li Koon di bawah harga pasaran hartanah RM4.7 juta pada masa itu.
Ahli perniagaan wanita tersebut didakwa mahkamah di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Guan Eng. – Agensi/Mynewshub.TV