KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan menjadi pusat rujukan bagi kerajaan untuk membangun dan memodenkan keperluan ketenteraan, aeroangkasa dan keperluan maritim.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata aset dan teknologi terkini akan dipaparkan di LIMA’19 akan menyumbang ke arah meningkatkan kerjasama dalam pertahanan tempatan serta antarabangsa.
“LIMA’19 pasti akan menjadi satu perkara yang menarik, saya menyeru semua pemain industri untuk menyertainya dan menjadi sebahagian daripada acara tersebut,” katanya pada pelancaran LIMA’19 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Mohamad berkata LIMA’19, yang bertemakan ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’ akan diadakan di Langkawi dari 26 hingga 30 Mac tahun depan, mensasarkan 60 peratus penyertaan membabitkan pemain industri pertahanan manakala selebihnya daripada kalangan syarikat komersial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EN Project Sdn Bhd Lt Gen (Bersara) Datuk Seri Sabri Adam berkata kira-kira 600 syarikat dari 14 pavilion di seluruh negara dan 350 delegasi asing dijangka menyertai pameran itu.
“Lebih daripada 100 pesawat dan 30 aset maritim (akan dipamerkan semasa pameran) dan sejumlah 60 peratus ruang lantai telah ditempah oleh syarikat tempatan dan antarabangsa dan penjualan ruang ini berjalan dengan cepat,” katanya.
Pameran aeroangkasa lima hari itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, manakala Resort World Langkawi akan menjadi tuan rumah pameran maritim.
LIMA yang diadakan dua tahun sekali sejak tahun 1991, menyediakan platform yang unik kepada industri maritim dan aeroangkasa peluang rangkaian kerja dan perniagaan sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Pasifik yang dinamik. – BERNAMA