IPOH – Atlet lontar peluru Johor, Farm Loong Deng melupakan kesakitan di paha kirinya demi membawa pulang pingat emas buat kontinjen negerinya menerusi penyertaan sulung beliau dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018, hari ini.
Loong Deng yang terdahulu mencatat 14.85 meter pada lontaran pertamanya, nyata sukar digugat peserta lain, dengan aksi konsisten atlet itu berterusan sehingga berjaya mencatat 15.14 meter pada lontaran keenam yang juga lontaran terakhir setiap peserta sekali gus mengesah pingat emas.
Kejayaan diraih Loong Deng itu turut memberi makna kepada dirinya apabila berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaiknya sebelum ini 14.67 meter.
“Saya sangat gembira hari ini kerana memperoleh pingat emas dalam penampilan pertama saya dalam Sukma. Saya Ingin berterima kasih kepada jurulatih, penyokong dan keluarga yang banyak memberi sokongan,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah misinya selepas ini adalah untuk memperhebatkan lagi sistem latihan bagi melayakan diri untuk beraksi di Sukan SEA Filipina 2019.
“Fokus utama saya adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan milik atlet lontar peluru negara, Adi Aliffudin Hussin yang melakukan lontaran sejauh 17.53 meter pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia,” katanya.
Sementara itu, acara final lontar peluru yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, menyaksikan wakil Wilayah Persekutuan, Loh Cen Hao meraih perak dengan lontaran 14.01 meter.
Atlet Sabah, Zulkifli Saidin yang mencatat 13.90 meter sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa. – BERNAMA