ADAKAH ini buah nangka atau durian? Ternyata ada juga orang Barat masih lagi keliru dengan makanan Asia, termasuklah cef terkenal Amerika Syarikat (AS), Martha Stewart.
Baru-baru ini, satu artikel yang diterbitkan dalam majalah atas talian di bawah jenama Martha Stewart menerima perhatian ramai netizen apabila gambar durian diletakkan pada artikel mengenai kegunaan buah nangka.
Sebenarnya artikel tersebut yang bertajuk “Bagaimana untuk menggunakan buah nangka” menampilkan lima cara berbeza kegunaan buah berkenaan dalam masakan.
Kekeliruan Martha mencetuskan perdebatan hangat menerusi laman sosial antarabangsa, terutamanya dalam kalangan penggemar durian dari Singapura dan Malaysia.
Ramai netizen mengatakan bahawa bukanlah sukar untuk mencari gambar nangka memandangkan terdapat banyak imej buah tersebut jika buat pencarian menerusi Google.
Mereka juga persoal jika artikel itu sememangnya tentang nangka atau sebenarnya durian. Kecaman itu menyebabkan pasukan Strive mengeluarkan gambar itu dari artikel tersebut.
Strive turut menyatakan: “Kami menyesali kesilapan itu.” Anehnya Martha, bagaimanapun, masih belum memberikan sebarang komen mengenai kesilapan tersebut.
Ini bukan kali pertama orang Barat dikecam netizen kerana tidak memahami makanan Asia Tenggara. Pada April lalu, juri rancangan MasterChef UK, Gregg Wallace, mengkritik hidangan rendang.
Makanan tradisional itu yang dimasak oleh seorang rakyat Malaysia, Zaleha Kadir Olpin, dikatakan sebagai tidak rangup yang menyebabkan wanita Melayu itu tersingkir daripada rancangan tersebut.