JERTIH – Seorang pelajar sekolah pondok maut akibat ditimpa tiang gol dalam kejadian di Kampung Padang Landak di sini hari ini.
Ahmad Muazz Naimullah Mohd Azhar, 14, pelajar Madrasah Moden Maidam di sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang menyertai pertandingan bola sepak lapan sebelah anjuran madrasah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bergayut pada palang gol.
“Tindakan remaja berkenaan bergayut menyebabkan palang gol berkenaan patah dan menimpanya.
“Mangsa kemudian cuba mengangkat palang gol itu tetapi gagal,” katanya hari ini.
Beliau berkata, tidak lama kemudian mangsa berjaya melepaskan diri dan cuba berjalan namun rebah selepas beberapa langkah.
“Melihat kejadian itu, seorang guru cuba menyelamatkannya dan segera membawa mangsa ke Hospital Besut tetapi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Jenazah mangsa kemudian dibawa balik keluarganya di Kampung Sura, Dungun,” katanya. – BH Online