SINIS… Sebelum ini rakyat Malaysia gempar apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui menteri dilantik beliau sebagai bodoh mengenai hal ehwal kementerian masing-masing.
Ini termasuk kecoh ada menteri dedah cuma empat jet pejuang boleh terbang, selain terdapat menteri suruh nelayan tanam nanas di rumah dan juga seorang menteri izin golongan pondan boleh guna tandas orang kelainan upaya.
Terkini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah jadi bahan sindiran seterusnya apabila sebelum ini dengan angkuh mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lantik orang politik sebagai duta Malaysia ke mana-mana negara.
Ia kononnya sejajar dasar PH yang sebelum itu mendakwa tiada lantikan politik untuk isi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan segala agensi kerajaan tetapi perlu disandang golongan profesional berpengalamana luas.
Justeru, ramai duta Malaysia dari kalangan tokoh politik era Barisan Nasional (BN) dipecat serta-merta sejurus PH ‘tawan’ Putrajaya termasuk duta khas di negara tertentu konon pemegang jawatan itu bazir duit rakyat marhaen.
Ironi, media berbahasa Cina melaporkan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai mengampuni “ketidaktahuan” Saifuddin sambil menegaskan kesahihan mandatnya sebagai Duta Khas ke China melalui pelantikan oleh Perdana Menteri.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Cheras bagaimanapun bertanya sama ada menteri luar itu telah ponteng mesyuarat Kabinet sehingga tidak tahu hal pelantikan Duta Khas ke China oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Kok Wai mengajukan soalan ‘pedas’ itu selepas Saifuddin menyatakan bahawa pemimpin kanan DAP tersebut hanya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) dan bukannya menjadi duta khas ke China.
Untuk rekod, PH sebelum ini pernah lantang mengkritik teruk kerajaan BN kerana sering melantik ramai duta khas yang peranan mereka sebagai utusan rasmi bertindih pula dengan tugas hakiki duta Malaysia ke negara berkenaan.
Menurut Saifuddin, pelantikan duta khas menjadikan PH tidak berbeza dengan kerajaan BN terdahulu. Kok Wai ketika dihubungi akhbar China Press namun membidas keras kenyataan Saifuddin kerana kurang berpengetahuan.
“Sebagai Menteri Luar, Saifuddin boleh menyemak sendiri dengan Perdana Menteri mengenai peranan dan tugas duta khas. Saya bagaimanapun memaafkan ketidaktahuan Saifuddin,” kata Kok Wai dalam nada agak tinggi diri.
Beliau turut menunjukkan sepucuk surat rasmi yang menyatakan Perdana Menteri sudah melantiknya sebagai Pengerusi MCBC merangkap Duta Khas ke China secara sah pada 1 Ogos sebelum lawatan rasmi ke negara itu.
Menurut Kok Wai, beliau telah memanjangkan perkara itu kepada Saifuddin dan Menteri Luar tersebut turut menjelaskan kepada akhbar The Star bahawa pelantikan Duta Khas ke China tiba-tiba diluluskan dalam Kabinet.
“Maka saya mahu bertanya kepada Saifuddin, adakah anda tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet? Adakah anda ponteng kerja?” soal beliau sinis kepada bekas timbalan menteri era BN dahulu yang dipetik oleh China Press.
Ditanya tentang manifesto PH sendiri yang melarang sebarang pelantikan politik, Kok Wai berdalih dengan berkata, ia adalah merujuk kepada pelantikan dalam sesebuah badan berkanun kerajaan dan bukannya sebagai duta khas.
“Kalau menolak semua pelantikan politik, maka semua Ahli Parlimen tidak boleh menjadi Menteri,” katanya sambil menegaskan beliau tidak mungkin cipta pelantikan jawatan yang memang tidak wujud. – Agensi/Mynewshub.TV