Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Erra Tertekan Hubungan Baik...

RASANYA peminat hiburan sendiri sudah maklum mengenai hubungan cinta yang terjalin antara Erra...

KKM Laksana Vaksin Cacar...

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksin secara...

Tong Gas Meletup: 2...

KUALA TERENGGANU – Akibat tong gas masak meletup, 14 orang dari dua keluarga...

Dikutuk Kerana Suara Tak...

Ramai peminatnya tahu, aktres cantik yang juga seorang ahli perniagaan ini turut terjun...

Merenungi Masa Depan Sungai Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Sejak 2005, Ahad terakhir dalam setiap September dipilih sebagai Hari Sungai Sedunia.

Malaysia dan 59 negara lain di dunia meraikan hari tersebut dengan melakukan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya dan bernilainya sungai kepada kehidupan manusia.

Hubungan manusia dengan sungai terjalin erat sekian lama. Sungai bukan sahaja menjadi sumber bekalan air domestik malah ia adalah sumber air bagi pertanian, alat pengangkutan dan perhubungan serta sumber rezeki.

Bagaimanapun, kemajuan dan pembangunan pesat serta pertumbuhan bandar, kawasan industri, ekonomi dan aktiviti perdagangan menyebabkan berlakunya konflik antara manusia dan sungai.

Hubungan ‘mesra’ manusia dengan sungai kini dikatakan hanya terjalin apabila mereka mengunjungi kawasan-kawasan rekreasi yang mempunyai sungai yang jernih airnya untuk berkelah dan melakukan aktiviti air.

Malangnya, kebanyakan sungai terutama di kawasan bandar semakin lesu dengan penampilan kotor, berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah. Kualiti air pula dilaporkan rendah di tahap Kelas 3 dan ada juga yang amat teruk di tahap Kelas 5.

Keadaan sungai di Malaysia dikatakan semakin tenat terutama dengan masalah pencemaran akibat pembuangan sisa industri.

Laporan media sebelum ini menyatakan sebanyak 229 daripada 473 sungai di seluruh negara kini tercemar.

Kemerosotan kualiti sungai memberi gambaran jelas sikap rakyat Malaysia yang kurang kesedaran tentang sungai dan kaedah pembuangan sisa pejal tidak teratur.

Setiap tahun, ratusan ribu tan sampah dikutip dari sungai-sungai di seluruh negara.

​​​​​Aktiviti pembalakan dan guna tanah membabitkan perubahan hutan menjadi ladang terutamanya pembukaan ladang kelapa sawit turut memberi kesan besar kepada kualiti air sungai dengan jumlah pepejal terampai (TSS) yang tinggi menyebabkan air keruh.

Keadaan ini berlaku di dua cabang sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir. Aktiviti pembukaan ladang kelapa sawit menyebabkan hilir Sungai Kelantan keruh dengan kadar TSS yang tinggi sepanjang tahun termasuk semasa musim kemarau dan tengkujuh.

Pakar air dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Maketab Mohamad mendakwa keadaan itu berpunca daripada tindakan agensi kerajaan dan syarikat pembekal air yang lebih mengutamakan kuantiti berbanding kualiti air yang diperlukan untuk dirawat.

Beliau berkata ini, antara lain, menyebabkan punca air tidak dijaga dengan baik.

“Hanya sungai di bahagian hulu sahaja yang dijaga tetapi apabila tiba di kawasan hilir, keadaan sungai sudah pun terjejas,” kata Dr Maketab yang juga Pengarah Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM.

Beliau menjelaskan air terawat sepatutnya diambil dari sumber di tahap Kelas 1 dan Kelas 2A sahaja berdasarkan Piawaian Kualiti Air Kebangsaan.


“Malangnya, kebanyakan punca air mentah adalah di tahap Kelas 3 dan kadang-kadang sampai tahap Kelas 4 terutamanya untuk parameter TSS semasa musim tengkujuh,” dakwanya.

Ketiadaan polisi atau undang-undang baharu untuk memperbaiki keadaan sungai juga menyebabkan parameter TSS mencatat paras teruk di kebanyakan sungai-sungai Malaysia terutamanya di bahagian hilir.

Dr Maketab berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak terhadap tanah, hutan dan air namun ada pihak yang sanggup menggunakan kawasan hutan dan kawasan tadahan air bagi mendapatkan hasil untuk kepentingan sendiri, tanpa mengira kuantiti dan kualiti air.

Menurutnya sistem yang dinamik sungai dan alirannya menyebabkan ia boleh bertukar ‘fungsi’ mengikut guna tanah dalam kawasan tadahannya.

“Ini menyebabkan anak-anak sungai boleh tertimbus manakala sungai-sungai besar menjadi cetek akibat hakisan dan mendapan,” jelasnya.

Beliau berpendapat jika pengurusan hutan ditambah baik dengan guna tanah diperbaiki menerusi pelaksanaan penanaman semula pokok-pokok di kawasan tadahan dan zon penampan, ia boleh memperbaiki kerosakan yang berlaku.

“Namun, usaha itu memerlukan masa yang lebih lama untuk dilakukan,” katanya.

Antara kaedah terbaik dan berkesan untuk memulihkan sungai-sungai di Malaysia adalah dengan menerapkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjagaan alam sekitar termasuk pemuliharaan sungai.

Kesedaran ini perlu ditekankan sejak kecil seperti yang dilakukan di negara asing seperti Denmark, yang memberi pendidikan tentang penjagaan alam sekitar dari peringkat prasekolah lagi.

Kerajaan pusat dan negeri serta agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, kerajaan tempatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu merangka kurikulum yang memberi pendedahan awal tentang kesedaran alam sekitar secara berterusan dari peringkat prasekolah hingga ke universiti.

Sudah tiba masanya pihak berkenaan ‘membuka mata’ dan mengambil tindakan segera yang efektif bagi memastikan kawasan sungai dan tadahan air bebas daripada pencemaran.

Masih belum terlewat bagi kita untuk sama-sama mengharmonikan sungai demi kesejahteraan hidup dan generasi akan datang.

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin – BERNAMA

Kategori