KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangka lebih 75,000 pelancong Muslim dari Malaysia mengunjungi Taiwan tahun ini berikutan persekitaran mesra Muslim yang tawarkan oleh negara itu.
Pengarah Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou berkata, tarikan tersebut mula dikenali selepas Taiwan diumumkan sebagai “Destinasi Kegemaran Asia” buat kali ketiga apabila berjaya menarik lebih 528,000 pelancong dari Malaysia sepanjang tahun lalu.
“Tahun ini, kami menjangka untuk melihat peningkatan yang lebih tinggi, terutama di kalangan pelancong Muslim. Hanya sepuluh peratus pelancong Muslim datang ke Taiwan tahun lepas dan kami berharap angka itu akan meningkat sebanyak 50 peratus,”
“Mungkin orang Muslim sentiasa mengambil berat mengenai makanan halal di Taiwan tetapi saya ingin menyatakan bahawa terdapat hampir 176 restoran dan hotel halal di Taiwan. Biro Pelancongan Taiwan juga sentiasa berusaha untuk menawarkan persekitaran yang mesra Muslim, jadi pelancong Muslim boleh menikmati percutian dengan selesa,” katanya selepas sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, MATTA Fair edisi 46 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula esok (7 Sept) dan acara selama tiga hari itu yang melibatkan 1,336 gerai pameran diadakan dengan kerjasama 250 organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng berkata organisasi tersebut termasuk 160 agensi pelancongan, pejabat pelancongan negeri serta 30 hotel dan resort.
“Selain itu, kami menyasarkan 400,000 pengunjung ke acara ini yang berlangsung sehingga Ahad dan kali ini menyaksikan 160 agensi pelancongan menawarkan pakej yang mempunyai kelainan,” katanya pada sidang media Pra MATTA Fair di sini, hari ini.
Program yang dijalankan sepanjang MATTA Fair kali ini antaranya ialah Kempen Derma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara. – BERNAMA