MELAKA – Kandungan methanol antara 30 hingga 50 kali lebih tinggi daripada jumlah dibenarkan adalah punca kematian 33 warga asing akibat kes keracunan arak minggu lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata kandungan metanol yang tinggi dipercayai terjadi akibat kegagalan dalam pemprosesan pembuatan arak yang sepatutnya menghasilkan ethanol iaitu sejenis sebatian alkohol.
Setakat ini, 87 kes keracunan arak dilaporkan di empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Negeri Sembilan.
“Kita berharap penjualan dua arak itu yang dikenal pasti mengandungi racun disita dan tidak dijual di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Dunia Perubatan Senaman (WCEM) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Penaung WCEM Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah dan Pengerusi WCEM Prof Datuk Seri Jessy Lai.
Sementara itu, Dr Lee berkata satu pertiga daripada populasi orang dewasa di negara ini adalah penghidap darah tinggi dan kencing manis sementara 50 peratus daripada orang dewasa mengalami obesiti atau berat badan berlebihan,
Justeru, rakyat Malaysia disaran menjadikan senaman sebagai aktiviti dalam kehidupan harian bagi mengawal dan mencegah penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes selain mengelak obesiti.
“Penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat negara ini menunjukkan peningkatan dan ia akan menjadi beban kesihatan untuk negara sekiranya tiada langkah awal dilakukan untuk mencegah atau merawat ianya berlaku,” katnya.
Bagaimanapun, amalan senaman berkenaan perlu mendapat nasihat atau rujukan daripada pakar senaman dan fisioterapi kerana setiap individu mempunyai tahap atau kekuatan untuk bersenam yang berbeza.
Beliau juga berkata amalan pemakanan yang sihat termasuk mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi juga perlu diberi penekanan kerana ia turut memberi kesan terhadap kesihatan individu.
“Elakkan daripada makan di luar pada lewat makan dan kurangkan pengambilan makanan karbohidrat,” katanya. – BERNAMA