KUALA LUMPUR – Jutawan bisnes katering, Mila Jirin, 31, dikejutkan dengan hadiah istimewa apabila menerima sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz S400 L yang dianggarkan bernilai hampir RM400,000.
Berdasarkan entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Mila atau pemilik nama penuh Nursyarmila Jirin memberitahu dia menerima hadiah tersebut daripada suaminya, Ailis Mustapha.
“Hadiah ini diterima semalam atas pencapaian saya sebagai seorang ahli perniagaan di bawah tunjuk ajarnya.
“Dia bukan sahaja suami, malah merupakan mentor terbaik sehinggalah kami sekeluarga mampu membina empayar perniagaan seperti yang dimiliki hari ini.
“Sebelum ini saya pernah menolak tawarannya untuk membelikan sebuah kereta Mini Cooper, tetapi kali ini saya tak boleh tolak kerana dia membelinya tanpa memberitahu saya terlebih dahulu,” katanya.
Tambah Mila, hadiah mewah berharga hampir setengah juta ringgit itu adalah kereta idamannya sejak sekian lama.
Lebih menggembirakan Mila, suami yang menikahinya pada 11 November 2015 itu turut menyediakan seorang pemandu untuk membawanya ke mana-mana sama ada untuk tujuan peribadi mahupun urusan kerja.
“Dulu saya tolak tawarannya kerana tidak yakin dengan kebolehan memandu saya walaupun sudah mempunyai lesen,” katanya. – UTUSAN ONLINE