BURNLEY – Jose Mourinho kini boleh tersenyum kembali selepas Manchester United berjaya menumpaskan Burnley 2-0 di Turf Moor awal pagi tadi, sekali gus menamatkan episod malang yang menimpanya dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.
Dua gol di separuh masa pertama menerusi Romelu Lukaku meletakkan United dalam kedudukan selesa, dengan skuad Red Devils berupaya menambah derita Burnley selepas waktu rehat, namun sepakan penalti Paul Pogba gagal menembusi gawang.
Mourinho, yang mendesak pihak media untuk menghormatinya selepas tewas 0-3 kepada Tottenham Hotspur di laman sendiri minggu lalu, bagaimanapun mendapat sokongan padu penyokong yang hadir ke Turf Moor.
“Saya gembira dan saya rasa sesetengah daripada anda mesti kecewa kerana anda fikir adalah lebih baik jika kami kalah.
“Tetapi saya fikir prestasi itu sangat baik dan semakin bagus sejak membuat sentuhan pertama bola.
“Selepas 10 minit kami bermain dengan begitu baik dan kami kehilangan peluang mudah yang saya rasa Tottenham juga pernah lakukan, bagaimanapun bagi saya permainan sebegini akan memberikan kemenangan.
“Kami sepatutnya ‘membunuh’ permainan lebih awal, tetapi yang lebih adalah prestasi kami yang sangat baik dan sangat kukuh. Itu yang penting,” katanya sambil melemparkan senyuman sinis.- REUTERS