NAMA Fikry Ibrahim semakin menjadi perhatian dalam kalangan peminat drama tempatan walaupun pada awalnya dia muncul sebagai pelawak selepas mendapat tempat ketiga pertandingan Lawak Solo pada 2016.
Namun ramai tidak mengetahui pemuda berusia 24 tahun itu sebenarnya masih menuntut dalam bidang Pengiklanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Menjawab soalan secara rawak daripada peminatnya menerusi fungsi pertanyaan di Instastory, Fikry mendedahkan sebelum bergelar pelakon dia pernah membuat kerja sampingan sebagai maskot Boboiboy dan Perodua.
Kata Fikry lagi, dia sebenarnya suka mencuba pelbagai perkara malah sentiasa berpegang pesanan tok gurunya agar beranikan diri untuk mencuba sesuatu pekerjaan atau perniagaan.
“Seorang pelajar, juga buat sambilan maskot (Perodua dan Boboiboy) dan suka cuba pelbagai bidang perniagaan.
“Tok guru saya selalu pesan; kalau dapat tawaran apa-apa pekerjaan atau perniagaan, cakap je tahu nak buat.
“Lepas tu boleh belajar, kalau tak takkan pernah dapat peluang itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fikry juga memberitahu dia kini sedang mempelajari bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga yang diwajibkan bagi penuntut di UiTM.
Kata Fikry, dia juga tertarik untuk belajar bahasa Korea yang sedang popular.
“Mungkin teringin nak cuba belajar bahasa Korea atau pun kalau tak cukup juga mungkin saya perlu dibahasakan,” tulisnya secara berjenaka bagi menjawab soalan peminatnya. – mStar Online