LOS ANGELES – Seorang biskop yang mengetuai upacara pengebumian penyanyi popular, Aretha Franklin, meminta maaf selepas dituduh memegang payudara penyanyi Ariana Grande ketika mereka berada di atas pentas.
Beberapa gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan tangan biskop Charles H Ellis III memeluk belakang Ariana dengan tapak tangannya kelihatan seperti memegang bahagian tepi dada penyanyi itu.
“Saya tidak pernah berniat menyentuh payudara wanita. Mungkin saya tersilap atau saya terlalu peramah. Sekali lagi, saya mohon maaf,” katanya kepada AFP.
Ellis berkata, dia memeluk semua artis lelaki atau wanita yang menghadiri majlis berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Aretha yang dikenali sebagai Ratu Soul.
Aretha meninggal dunia pada 16 Ogos lalu, ketika usia 76 tahun akibat barah.
Bagaimanapun, orang ramai mula memuat naik gambar kejadian itu di media sosial ketika Ariana naik ke pentas untuk menyanyikan lagu Aretha iaitu (You Make Me Feel Like) A Natural Woman.
Ramai pengguna media sosial berpendapat tangan Ellis tidak sepatutnya berada terlalu tinggi di bahagian atas tubuh penyanyi berusia 25 tahun itu ketika bercakap dengannya dan Ariana juga kelihatan tidak selesa dengan keadaan itu.
Kejadian itu menyebabkan ramai pengguna media sosial mengecam Ellis dan mahu lelaki berkenaan memohon maaf. – Agensi