KOTA BHARU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan keseriusan dalam menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak dengan membuat pembayaran pertama pada bulan ini.
Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R), Mohd. Nazri Deraman berkata, perkara itu seperti dinyatakan dalam perjanjian antara Petronas pada 9 Mei 1975 dan selaras dengan kehendak Akta Kemajuan Petroleum 1974.
“Dalam perjanjian itu, jelas dinyatakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada jumlah pengeluaran perlu dilakukan pada September setiap tahun, manakala, bayaran kedua dijelaskan pada Mac tahun berikutnya.
“Kami juga menyokong penuh hasrat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti peringkat negeri supaya bayaran pertama dapat dilakukan oleh syarikat Petronas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ihsan. – UTUSAN ONLINE