KUALA LUMPUR – Hampir empat tahun mengukuhkan namanya, jenama fesyen antarabangsa Norish Kareem Couture (NKC) terus mencuri perhatian ramai.
Jenama ini diusahakan anak tempatan berasal dari Kuantan Pahang dan dibesarkan di Kuala Lumpur.
Dalam tempoh itu, jenama berkenaan sudah menyertai pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa seperti di Muslim Lifestyle di Olympia, London, Indonesia Muslim Fashion Week, DC Fashion Week di Washington, Runway Dubai di Emiriah Arab Bersatu, Minggu Fesyen New York 2017, Minggu Fesyen Paris dan London Modest Fashion.
Malah koleksi pakaian NKC juga didapati di Beverly Hills, Amerika Syarikat dan terkini di Emiriah Arab Bersatu, Dubai. Ketika ini jenama berkenaan sedang menghitung hari kerana bakal membuka butik seterusnya di kota London pula.
“Insya-Allah butik dengan nama Norish Kareem London itu akan dilancarkan awal November depan dengan konsep butik kafe. Malah butik saya itu juga menyediakan ruang untuk pereka fesyen diri dunia untuk meletak dan menjual koleksi mereka.
“Saya harap semuanya akan dipermudahkan. Ia bukan soal saya dan fesyen semata-mata, tapi dalam hati terbit rasa bangga kerana jenama tempatan dari Malaysia juga mampu mencuri perhatian orang luar negara,” kata Norish Kareem.
Malah nuansa fesyennya juga turut mendapat perhatian penerbitan majalah fesyen ternama dunia seperti Vanity Fair, Tatler UK, Elle dan Harper’s Bazaar UK.
“Teruja juga selama ini hanya melihat ruang publisiti jenama NKC di dada akhbar, majalah dan portal di Malaysia. Sekarang tak sangka NKC diterbitkan dalam majalah Vanita Fair isu Oktober.
“Menyusul pula dalam majalah Harper’s Bazaar UK dan Tatler UK tak lama lagi.
“Saya lihat ruang promosi ini jadi peluang terbaik dengan pembukaan butik saya di London. Malah ada majalah fesyen itu pun sudah menyatakan kesudian untuk hadir memberi sokongan dan membuat liputan sempena pembukaan butik itu nanti,” katanya.
NKC pernah diperagakan beberapa deretan artis Hollywood dan kerabat. Malah model istimewa dari Australia yang menghidap Sindrom Down, Madeline Stuart sebagai wajah ilham atau muse koleksinya beberapa kali.
“Impak Stuart sangat besar untuk portfolio fesyen saya. Pertunjukan fesyen di Dubai juga memutik perkenalan kami.
“NKC sendiri menerima mesej daripada ibu bapa yang mempunyai anak dengan sindrom down dari pelusuk negara termasuk di New York yang mahu membeli koleksi seperti dipakai Madeline.
“Malah ada yang sanggup terbang ke butik di Dubai untuk membelinya. Koleksi NKC juga boleh dibeli secara dalam talian www.norishkareem.com atau di Instagram, @norishkareemfashioncouture.
“Pengikut kami di Instagram juga turut meningkat naik gara-gara promosi dan impak pembabitan Madeline. Kami juga mendapat liputan meluas daripada penerbitan terkenal dan agensi berita antarabangsa seperti Marie Claire, Reuters dan Daily Mail UK sebelum ini,” katanya.
Pemilik NKC, Norish menimba pengalaman di London sejak 2012 ketika menetap di sana kerana menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengurusan perniagaan di Universiti Kingston, London.
Selepas tamat pengajian dia menyambung pula dalam bidang doktor falsafah di universiti sama. Dalam tempoh pengajian, Norish banyak membuat kajian mengenai perniagaan dan sasaran pelanggan.
Kajian mengenai budaya turut dilakukan kerana memahami budaya sesebuah negara membolehkan seseorang itu diterima dalam masyarakat.
Bukan itu saja dia juga banyak mengkaji mengenai jenama dan pereka yang mencipta warisan di seluruh dunia, antaranya H&M dan Chanel.
Selepas yakin dengan apa yang dipelajari, menerusi pengalaman dan pendidikan wanita ini memberanikan diri mengeluarkan jenama sendiri menggunakan label Norish Kareem Couture (NKC) Kuala Lumpur pada 2015. – BH Online