ISLAMABAD – Kerajaan Pakistan membenarkan bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif dan anak perempuannya Maryam Nawaz yang sedang dipenjara untuk hadir ke pengebumian isterinya, Kulsoom Nawaz, yang meninggal dunia semalam.
Kulsoom Sharif, 68 meninggal dunia di London semalam selepas menghidap kanser Limfoma.
“Kami baru saja menerima permohonan dari keluarga mereka dan berkemungkinan akan memberikan pelepasan parol,” kata Menteri Penerangan, Fawad Chaudhry kepada Reuters.
Katanya, Nawaz dan anak perempuannya akan dibebaskan selama 12 jam pada hari pengebumian yang dijangka akan diadakan dalam masa tiga hingga empat hari lagi sebaik jenazah tiba dari London.
Nawaz sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun, manakala anaknya, Maryam dikenakan hukuman penjara tujuh tahun, selepas didapati bersalah membeli pangsapuri mewah di London pada 1990-an. – Reuters/BH ONLINE