KUALA TERENGGANU – Kisah perjuangan Rasululullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan syiar Islam kini dapat diselami dengan lebih dekat menerusi Pameran Artifak Rasulullah dan Para Sahabat yang diadakan buat julung kalinya di negeri ini di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).
Pameran yang berlangsung selama sebulan bermula 23 Sept hingga 22 Okt itu dibuka kepada orang ramai pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Rozali Salleh berkata pameran anjuran bersama YPU dan Dragon Heart Sdn Bhd ini menampilkan pelbagai artifak berkaitan Rasulullah dan para sahabat yang dibawa dari Mekah, Madinah, India, Syria dan Jordan.
“Harga tiket yang dikenakan juga sangat berpatutan dan lebih murah berbanding lokasi lain iaitu RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Antara artifak barangan Rasulullah yang dipamerkan ialah serban, koleksi pedang, busur panah, capal, janggut, kain penutup makam, tongkat dan cop mohor baginda. – BERNAMA