LANGKAWI – Sebanyak 50 karya seni dari beberapa buah negara kini dipamerkan pada Pameran Seni dan Reka Bentuk Tahunan Kedua bersempena Persidangan Antarabangsa Seni dan Reka Bentuk Asia (AICAD) 2018 di sini.
Kurator Balai Seni Negara cawangan Langkawi Mohamad Majidi Amir berkata pameran yang dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat itu berlangsung sehingga 4 Okt ini.
“Pameran AICAD 2018 bertujuan mengetengahkan karya seni artis, jauh dan dekat, untuk memberi inspirasi serta meningkatkan lagi arena seni kotemporari Malaysia.
“Kami berbesar hati dipilih menganjurkan pameran ini selepas penganjuran sulung AICAD 2017 oleh Indonesia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pameran serupa akan turut diadakan secara bersama oleh Universiti Teknologi Mara Perak dan Creative Design Centre dari 3 hingga 6 Okt ini. – BERNAMA