KOTA TINGGI – Seorang pegawai tentera dan anak lelakinya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jemaluang, Kota Tinggi menghala ke Mersing, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa Mohd Bashah Othman, 53, dan anak lelakinya, Muhammad Nurshafiq Mohd Bashah, 24, maut di lokasi kejadian selepas Honda City dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan Toyota Hilux.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Jaafar Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 3.42 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Seorang lelaki yang cedera dipercayai pemandu Toyota Hilux dihantar ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jaafar berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan dan operasi ditamatkan pada jam 5 petang tadi. – BH Online