KUALA LUMPUR – Pejuang lagu Irama Malaysia yang juga komposer terkenal tanah air, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah, meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada pukul 3.15 petang hari ini.
Perkara itu disahkan oleh sumber terdekat daripada Pak Ngah Production, Abdul Rahman Mahadi ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
“Pak Ngah bertolak ke Batam pada Jumaat lepas atas urusan kerja dan Allahyarham ada mengadu tidak sedap badan pada malam Maghrib pada hari yang sama dan kemudian dihantar ke hospital.
“Setelah berada di sana, Allahyarham disahkan mempunyai kegagalan jantung dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bermula Jumaat hingga semalam,” katanya.
Menurutnya, semasa dalam penerbangan balik, keadaan Pak Ngah sudah tidak stabil dan diarahkan oleh pasukan perubatan untuk berpatah balik ke Batam.
“Sepatutnya (saya) ambil beliau hari ini untuk hantar ke Hospital Tawakal KPJ, Kuala Lumpur, tetapi dimaklumkan beliau sudah tiada,” katanya lagi.
Bernama difahamkan jenazah akan dibawa dari Batam melalui feri pada pukul 8.00 pagi esok dan akan dikebumikan berhampiran kediamannya di Setapak di sini.
Pak Ngah meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan seorang anak lelaki dan perempuan.
Nama Pak Ngah sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan terutama melalui penciptaan lagu-lagu Irama Malaysia dan pernah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu 1999. – BERNAMA