HAVANA – Beberapa pekerja di sebuah pasar raya di Cuba dipecat selepas menjual 15,000 epal kepada seorang pembeli, di negara yang sering dilanda masalah kekurangan makanan itu.
Media rasmi negara, Granma melaporkan semalam, pekerja berkenaan dipecat selepas berita penjualan itu tersebar di sebuah blog seorang wartawan Cuba, yang menyaksikannya sendiri di sebuah pasar raya di Havana.
Sekumpulan orang muda, berpakaian ala tentera muncul di kedai dan membeli 150 kotak epal, 100 biji setiap satu, kata wartawan Iorel Sanchez, yang mendakwa semua buah itu adalah untuk seorang pelanggan.
Berpandukan resit yang dimuat naik, pembeli membayar 45 sen untuk setiap epal.
Granma berkata lapan pekerja kedai yang dimiliki oleh Cimex Corporation kendalian kerajaan itu dipecat.
Cuba mengimport hampir semua makanan yang digunakan oleh 11 juta penduduknya, termasuk epal, menurut laman rasmi Cubadebate.
Pulau itu sedang berusaha untuk memperbaharui model ekonomi gaya Soviet selepas perlembagaan baru diluluskan untuk menggantikan versi 1976 yang diluluskan parlimen dan dikemukakan untuk diperdebatkan.
Dalam usaha untuk meningkatkan bekalan produk makanannya, kerajaan Cuba baru-baru ini meluaskan kawasan itu dan membenarkan satu tempoh penanaman kepada petani di negara itu. – AFP/myMetro Online