KUALA LUMPUR – Seorang pekerja di Jabatan Sumber Manusia di sebuah hotel dihukum penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri pakaian di sebuah butik, minggu lepas.
Majistret Chai Sia Cheng menjatuhkan hukuman terhadap Nor Atikah Mohamad Sham, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan diperintah menjalani hukuman penjara dua minggu sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Wanita itu didakwa mencuri sehelai baju kemeja perempuan dan sehelai seluar lelaki yang bernilai keseluruhan RM122 di butik Brands Outlets Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang di sini pada 8.20 malam, 5 Sept lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bastamam memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun Nor Atikah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang kakitangan di butik pakaian itu telah ternampak tertuduh dalam keadaan mencurigakan apabila dia telah memasukkan sesuatu dalam beg sandang yang dipakainya dan pemeriksaan dalam beg itu menjumpai pakaian tersebut dan tertuduh juga gagal menunjukkan sebarang resit pembelian pakaian itu. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..