KOTA KINABALU – Seorang pelayan restoran dituduh di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas kesalahan merogol pelajar berusia 13 tahun yang baru dikenalinya, 2 September lalu.
Lelaki berusia 29 tahun itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah kedai di Tuaran, pada jam 5 hingga 6 pagi.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan minta dibicarakan.
Lelaki warga Indonesia itu dituduh mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bersama Seksyen 376(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim kemudian menetapkan 19 Oktober depan untuk pengurusan kes sementara menunggu laporan laporan perubatan dan kimia daripada pihak berkaitan.
Noor Hafizah menetapkan tarikh perbicaraan dijalankan 21 hingga 23 Januari tahun depan dan tidak dibenarkan ikat jamin.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dinesh Raja manakala tertuduh diwakili peguam Goldam Hamid. – BH Online