KUALA LUMPUR – Empat pemain Johor dan Terengganu yang dilayangkan kad merah susulan pergaduhan pada aksi bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 boleh mula mencongak nasib masing-masing apabila akan ‘dibicarakan’ pada Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jumaat ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang mengesahkan insiden memalukan itu akan segera dibawa ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan memandangkan ia adalah isu serius.
“Kita sudah memanjangkan perkara itu supaya dapat dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib. FAM akan cuba membuatkan keputusan mengenai insiden itu secepat mungkin.
“FAM memandang serius insiden itu dan menegaskan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku terutamanya pada temasya berprestij seperti SUKMA.
“Tiada tempat untuk perlakuan sebegitu dalam kancah bola sepak di negara ini dan sebagai badan bebas, biarlah Jawatankuasa Tatatertib FAM memikirkan tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, perlawanan antara Johor dan Terengganu di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, kelmarin dicemari dengan insiden pergaduhan.
Insiden pada masa tambahan (minit ke-90+4) itu berpunca selepas berlaku provokasi tolak menolak sebelum seorang pemain Johor didakwa mula menendang pemain lawan menyebabkan keadaan menjadi sedikit kecoh.
Insiden itu juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh selepas ditolak beberapa pemain.
Pengadil, Mohd Afiq Ahmad Nadzir kemudian melayangkan kad merah kepada Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.
Perlawanan tersebut berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Johor sekali gus Johor sah tersingkir daripada saingan.
Berhubung mutu pengadilan pada perlawanan itu yang didakwa menjadi punca pergaduhan, Stuart bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pengadil FAM.
“Kita bertindak terhadap isu pergaduhan yang berlaku berdasarkan laporan yang diterima daripada perlawanan itu. Mengenai mutu pengadilan, saya berpendapat lebih baik jika ia dinilai oleh Jawatankuasa Pengadil dan badan penilai pengadil.
“Mereka adalah pihak yang lebih pakar untuk membuat penilaian mengenai mutu pengadilan,” katanya. – BH Online