KUALA LUMPUR – Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) diarah mengetatkan pemeriksaan di laluan khas orang kenamaan (VIP) di semua lapangan terbang.
Arahan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan itu dibuat susulan laporan NSTP yang mendedahkan laluan itu digunakan untuk membawa masuk wang berjumlah RM49 juta (AS$12 juta).
Laporan eksklusif itu mendedahkan dana itu adalah kepunyaan kerajaan namun dikesan di pejabat Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pihaknya memandang serius isu itu dan sudah mengarahkan MAHB untuk meningkatkan tahap keselamatan lapangan terbang terutamanya di laluan dan lounge VIP.
“Kami sudah keluarkan arahan kepada MAHB untuk meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) di laluan VIP dan saya turut mengarahkan MAHB untuk mengetatkan prosedur untuk VIP menggunakan laluan khas.
“Ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, individu yang menggunakan laluan dan bilik VIP tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan dan ia satu perkara yang agak lemah.
“Kami sudah arahkan MAHB untuk mengetatkan pemeriksaan di laluan VIP di semua lapangan terbang.
“Laluan VIP masih ada, namun penggunaannya selepas ini perlu lebih mengikut peraturan,” katanya.
Siew Fook berkata demikian pada sidang media di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), di sini, hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat diperlukan memandangkan hanya beberapa individu sahaja dibenarkan menggunakan laluan berkenaan seperti pegawai kementerian.
Beliau turut mengulangi prosedur yang lebih ketat itu perlu untuk memastikan bukan semua orang boleh menggunakannya.
“Sebelum ini, saya difahamkan pemeriksaan terhadap bagasi tangan yang dibawa melalui laluan VIP tidak diperiksa dengan ketat.
“Sekarang, pemeriksaan yang ketat perlu dibuat ke atas bagasi tangan.
“Perkara ini disedari susulan penahanan Datuk Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah MEIO.
“Kami mengesan beberapa juta mata wang asing dibawa masuk menerusi lapangan terbang, perkara ini perlu disiasat,” katanya.
Semalam, BH menerusi laporan eksklusifnya mendedahkan pesawat atau jet persendirian yang ada kaitan dengan pemimpin atau orang kenamaan dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar ke negara ini.
Ia berikutan kelonggaran penguatkuasaan dan pemeriksaan yang diberikan kepada pesawat persendirian yang ada kaitan dengan golongan berstatus pemimpin, pegawai tinggi kerajaan atau individu yang ada kaitan dengan mereka.
Ia diburukkan lagi apabila mesin pengimbas di laluan keluar lapangan terbang jarang diguna untuk memeriksa bagasi atau barangan dibawa penumpang pesawat atau jet persendirian terbabit sehingga wang jutaan ringgit mampu diseludup keluar atau masuk tanpa pemeriksaan rapi.
Dipercayai, modus operandi itu juga diguna untuk membawa masuk RM49 juta (AS$12 juta)dari luar negara pada April lalu oleh sebuah agensi ada kaitan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika pentadbiran terdahulu untuk tujuan politik termasuk bagi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14). – BH Online