Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Tahniah Skuasy Wanita.. Lakar...

KUALA LUMPUR - Malaysia membuka lembaran baharu dalam sukan skuasy apabila buat pertama...

Nik Abduh Sindir Penyokong...

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyindir...

Jaga Alam Sekitar, Jadi...

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari...

MCA N.Sembilan Sudah Siapkan...

PORT DICKSON - MCA Negeri Sembilan telah menyiapkan senarai calonnya untuk bertanding pada...

Pencapaian Cemerlang Atlet Malaysia Pada Sukan Asia 2018

JAKARTA – Selepas 14 hari bersaing memburu kejayaan, temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 melabuhkan tirai dengan pertunjukan bunga api yang memukau di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini, malam tadi.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 417 atlet diketuai Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi selaku ketua kontinjen negara, menampilkan aksi terpuji dengan ​​​​​​meraih tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa pada edisi ke-18 temasya sukan berkenaan, sekali gus mengatasi pencapaian edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, menyaksikan Malaysia hanya meraih lima emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Namun, kejayaan ​​​​​​​pada Sukan Asia 2018 masih jauh berbanding pencapaian terbaik Malaysia pada edisi 2010 di Guangzhou, China dengan kutipan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Juara bertahan, China mengekalkan dominasi selaku kuasa sukan Asia sejak edisi 1982 di New Delhi, India apabila mengumpul 132 pingat emas, 92 perak dan 65 gangsa diikuti Jepun (75-56-74), Korea Selatan (49-58-70) dan tuan rumah Indonesia di tangga keempat dengan 31-24-43.

Lima sukan yang mencapai taraf cemerlang pada temasya kali ini adalah tenpin boling (dua emas dan dua perak), berbasikal trek (satu emas, satu perak dan satu gangsa), skuasy (dua emas, satu perak dan dua gangsa), pelayaran (satu emas, satu perak dan tiga gangsa) serta sepak takraw (satu emas dan satu perak), manakala selebihnya hanya mencatat tahap memuaskan dan gagal.

Pujian juga harus diberikan kepada skuad sepak takraw negara yang menamatkan kemarau 24 tahun untuk meraih pingat emas dalam acara regu lelaki sejak edisi 1994 di Hiroshima, Jepun walaupun sebelum ini sukan berkenaan digugurkan daripada sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad hoki lelaki negara juga harus diberikan kredit setelah mengalahkan juara Asia, India 7-6 menerusi penentuan pukulan sudut penalti setelah terikat 2-2 pada aksi penuh perlawanan separuh akhir.

Harapan mereka untuk menempah slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, bagaimanapun tidak kesampaian setelah kalah 1-3 kepada Jepun dalam penentuan pukulan penalti setelah terikat 6-6 pada aksi penuh final, sekali gus gagal menamatkan kemarau 60 tahun tanpa kilauan emas sulung pada Sukan Asia.

Walaupun prestasi beberapa sukan agak mengecewakan, kontinjen Malaysia turut mengukir berita gembira pada temasya kali ini apabila dua pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif menjadi dua atlet terawal menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu, enam rekod kebangsaan berjaya diperbaharui pada kali ini melalui berbasikal trek (satu rekod), memanah (dua rekod) serta renang yang mencatat tiga rekod baharu.


Di sebalik kejayaan itu, atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan memberi harapan ‘palsu’ apabila gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2018, sekali gus menimbulkan persoalan keputusan Majlis Olimpik Malaysia memilih atlet berusia 26 tahun itu sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Sebagai rekod, beliau meraih pingat emas dalam acara kumite bawah 61kg wanita pada 2014, namun kalah pada pusingan penyingkiran ke separuh akhir dalam kumite bawah 55kg pada temasya sukan kali ini.

Pentas Sukan Asia 2018 juga merupakan penampilan terakhir ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang mengesahkan tidak akan beraksi pada edisi 2022 di Hangzhou, China.

Anak jati Pulau Pinang itu yang membuat penampilan sulung pada edisi 1998 di Bangkok, Thailand berjaya meraih tujuh emas, satu perak dan satu gangsa sepanjang penyertaannya pada Sukan Asia, sekali gus membuktikan beliau antara atlet terunggul negara.

Biarpun pencapaian atlet negara pada kali ini boleh dikatakan membanggakan, pemegang taruh sukan negara seperti MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan kebangsaan perlu berganding bahu menilai semula keberkesanan beberapa sukan subjektif yang gagal menghadiahkan kilauan emas pada kali ini seperti pencak silat, karate dan taekwondo.

“Penglibatan sukan kategori B (perbelanjaan ditanggung persatuan) perlu dikaji semula dan mungkin kriteria pemilihan perlu kita perketatkan. Aspek sains sukan yang melibatkan kecergasan dan persediaan mental juga perlu ditingkatkan,” kata Abdul Azim.

Semoga Sukan Asia 2022 di Hangzhou, akan terus menghadirkan berita menggembirakan buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada atlet negara dalam memburu kejayaan di pentas antarabangsa. – BERNAMA

Kategori