PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, yang bakal dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagi tujuan itu, beberapa pindaan perlembagaan akan dibuat bagi memastikan sistem pilihan raya berjalan dengan lebih telus lagi adil.
Menurutnya, usul berkenaan akan dibawa ke sidang Parlimen untuk mendapat kelulusan sebelum boleh dilaksanakan.
“Kita memerlukan undi majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan pindaan had umur ini dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.
Pada Julai lalu, Syed Saddiq bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan pindaan undang-undang untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan mendapat persetujuan mereka – BH Online