Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Mahathir Mulakan Lawatan Rasmi...

ANKARA - Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan rasmi...

“Kelakar,Penyayang” – Elizabeth Minat...

BERITA baik buat lelaki berbangsa Melayu di luar sana-- penyanyi bersuara seksi Elizabeth...

Vaksinasi ‘Walk-In’ Di Lembah...

PUTRAJAYA - Program vaksinasi Covid-19 secara walk-in atau jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV)...

PBB Sambut Baik Gencatan...

WASHINGTON - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyambut baik gencatan...

Pentingnya Matlamat Pendidikan Untuk Anak Orang Asli

KUALA PILAH – “Buat apa belajar sampai universiti kalau balik duduk kampung. Baik tak payah keluar.”

Ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga Majid Suhut, 57, apabila diperlekehkan penduduk kampung setelah beliau terpaksa mengambil keputusan menetap di kampungnya di Kampung Orang Asli Guntur, Batu Kikir, kira-kira 12 kilometer dari sini.

Majid adalah anak kampung pertama Orang Asli suku Temuan yang menyambung pengajian di Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali Universiti Putra Malaysia).

Namun, beliau kecewa kerana terpaksa menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer semasa di semester lima akibat masalah kesihatan selain gagal menunjukkan contoh bahawa pendidikan amat penting bagi masyarakat Orang Asli.

Selepas pulang ke kampungnya, Majid terpaksa berdepan dengan kata-kata sinis yang dilemparkan kepadanya serta perlu melakukan pelbagai pekerjaan termasuk meraih hasil rotan bagi menampung kehidupannya dan keluarga.

KELUARGA ORANG ASLI CONTOH

Semasa menyambung pengajiannya pada 1980-an, katanya, amat sukar untuk menyakinkan masyarakat Orang Asli supaya menghantar anak-anak ke sekolah kerana mereka menganggap pendidikan tidak perlu berikutan sumber rezeki dari hutan mencukupi untuk kelangsungan hidup mereka.

“Dan, tinggal di kawasan pedalaman tanpa kemudahan pengangkutan adalah antara alasan mereka untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah ketika itu.

“Saya bernasib baik kerana ada keinginan untuk belajar walaupun berhadapan cabaran yang amat sukar,” katanya semasa ditemui Bernama di Kampung Guntur, yang dihuni kira-kira 500 penduduk.

Bekas Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia itu kini menjadi keluarga Orang Asli contoh kerana enam daripada sembilan anaknya berjaya melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jurusan di universiti awam.

Anak sulungnya, Suriani, 31, adalah lulusan jurusan Farmasi dari Universiti Malaya; Suhairi, 29, lulusan jurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Melaka; Suzarima, 27, pula mempunyai ijazah ekonomi antarabangsa dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Suhazri, 26, lulusan Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Malaysia Pahang.

Anak kelimanya, Suhaizi, 23, baru menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ampuan Afzan manakala Suzaina, 22, masih mengikuti pengajian dalam jurusan kedoktoran di UiTM Sungai Buloh.

Tiga lagi anaknya iaitu Sufiza, 18, sedang menjalani kursus matrikulasi di Kuala Pilah manakala Suhairizal, 16, dan yang bongsu Suhazmi ,14, masih menuntut di sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah.

Majid, yang amat merendah diri dengan kejayaan anak-anaknya, berkata ia bukan untuk dibanggakan sebaliknya dijadikan contoh bahawa masyarakat Orang Asli boleh berjaya dalam pendidikan sekiranya ibu bapa mereka mempunyai kesedaran tentangnya.

KESEDARAN MASIH RENDAH

Nasib anak-anak Orang Asli terletak di tangan ibu bapa mereka. Kesedaran ibu bapa amat penting bagi membakar semangat anak-anak supaya gigih belajar bagi mengelak tercicir daripada sistem pendidikan.

Majid berkata dalam lawatannya ke banyak perkampungan Orang Asli semasa menerajui Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, beliau mendapati ramai daripada penduduknya masih rendah kesedaran tentang pentingnya pendidikan, berikutan kurangnya menerima pendedahan dan motivasi yang diperlukan.

“Mereka tidak nampak apa tujuan anak ke sekolah dan kurang mengambil tahu perkembangan sekolah anak-anak mereka. Ini menyebabkan anak-anak merasakan tidak memerlukan pendidikan yang tinggi,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Norwaliza Abdul Wahab mengakui bahawa kebanyakan ibu bapa Orang Asli masih tidak melihat kepentingan pendidikan kepada anak-anak mereka malah, ada yang memandang sinis peranan pendidikan untuk memperbaiki kehidupan.

“Sebab itu, mereka tidak kisah jika anak-anak tidak ke sekolah kerana menganggap kemahiran dan survival di hutan adalah lebih baik. Bagi mereka, hasil hutan yang diperoleh boleh dijual bagi mendapatkan wang,” katanya kepada Bernama.

Kajiannya tentang peranan dan penentuan matlamat pendidikan kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli di Kuantan, Pahang pada 2014 menunjukkan kesedaran ibu bapa berhubung perkara itu nyata masih rendah.

Kajiannya juga mendapati ada ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kerana mahu mendapatkan bantuan seperti makanan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

JAKOA menyediakan bantuan seperti wang saku sebanyak RM2 mengikut kehadiran, catuan makanan pagi untuk pelajar di pedalaman serta pakaian saragam untuk mereka yang masuk Tahun Satu dan Tingkatan Satu.


“Kebanyakan ibu bapa Orang Asli tidak mempunyai matlamat pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Apabila masuk sekolah menengah pula, pelajar Orang Asli kurang yakin untuk bergaul dengan pelajar-pelajar kaum lain. Rasa rendah diri ini menyebabkan ramai daripada mereka hanya bersekolah separuh jalan sahaja,” katanya.

Norwaliza berkata jika ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu menggalakkan pembelajaran anak-anak, lebih ramai pelajar Orang Asli akan cemerlang dalam pendidikan.

KEMUDAHAN LEBIH BAIK

Mengimbau usahanya bersama-sama isteri, Zaleha Ayot, dalam memastikan anak-anak menumpu perhatian kepada pelajaran, Majid berkata beliau bersyukur kerana isterinya banyak membantu menguruskan anak-anak termasuk mengulang kaji pelajaran semasa beliau sibuk mencari rezeki untuk keluarga.

“Dari awal lagi, kami tekankan pentingnya pendidikan pada anak-anak. Saya sering katakan kepada mereka jika ingin berubah, bersaing dengan orang lain melalui pendidikan. Lapan anak saya dapat belajar di sekolah berasrama penuh semasa di sekolah menengah,” katanya.

Lebih penting lagi, katanya, adanya kesedaran orang kampung tentang pentingnya pendidikan. Kini, terdapat tiga lagi keluarga yang berjaya menghantar anak-anak mereka ke universiti.

Majid berkata kemudahan prasarana terutama jalan raya yang sempurna turut membantu memudahkan anak-anak Orang Asli di kampungnya ke sekolah.

“Masa saya belajar dahulu, saya perlu berjalan kira-kira 6 kilometer ke Sekolah Kebangsaan Tengkek. Kemudian, ibu bapa saya memindahkan saya ke sekolah yang menyediakan asrama di Sekolah Kebangsaan Putra di Jelebu sehigga Darjah Enam,” katanya.

Kemudian, Majid menyambung ke sekolah menengah di Sekolah Menengah Triang Hilir di Jelebu sehingga Tingkatan Dua sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Datuk Undang Manap, Johol.

Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang baik membolehkan beliau bersekolah dalam aliran Sains di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin.

Namun, faktor jauh dari penempatan asramanya di Sekolah Kebangsaan Senibai, Johol menyebabkan beliau terpaksa berpindah pula ke Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah bagi menyambung pelajaran ke Tingkatan Lima.

Majid berkata faktor sekolahan yang jauh menyebabkan ibu bapa Orang Asli sukar menghantar anak-anak ke sekolah.

“Bayangkan pada usia tujuh tahun sudah dihantar ke asrama. Sudah tentu ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Dengan adanya 94 sekolah rendah Orang Asli yang berdekatan dengan perkampungan masyarakat itu di seluruh Semenanjung, semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

Faktor sumber ekonomi yang semakin terhad terutama sumber hutan menyebabkan Orang Asli terpaksa mencari pekerjaan di luar sebagai buruh dan pekerja am. Ini menyedarkan mereka tentang pentingnya untuk celik huruf dan sekurang-kurangnya, perlu kelulusan sekolah rendah.

“Jadi, mahu atau tidak, mereka terpaksa ke sekolah kerana pentingnya pendidikan untuk mereka.

“Kini, ramai keluarga menghantar anak-anak berumur 5 dan 6 tahun ke sekolah tadika bagi mendapatkan pendidikan awal,” katanya.

Majid mengakui banyak usaha dan masa diperlukan bagi merubah minda masyarakat Orang Asli tentang pentingnya pendidikan. – BERNAMA

Kategori