MALU… Pelancaran buku Billion Dollar Whale di Kinokuniya Books, Pusat Beli-Belah Suria KLCC di ibu kota semalam ‘kecoh’ apabila salah seorang penulisnya sendiri gagal jawab soalan cepumas!
Insiden aib itu menyaksikan wartawan, Tom Wright ketika sesi soal jawab dengan penonton secara terbuka ‘malu’ setelah tidak mampu tunjuk bukti kononnya ada salinan dokumen skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia berlaku selepas wartawan akhbar ternama Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) berpusat di Hong Kong, China itu ditanya pengkritik politik tempatan, Isham Jalil berhubung kesahihan bukti dalam buku tersebut.
Wright yang pernah jadi calon peringkat akhir Pulitzer, anugerah kewartawanan tertinggi di AS setaraf Hadiah Kajai di Malaysia; bahkan tampak tergagap dan berdolak-dalik dengan segera tukar topik alih perhatian kepada isu lain.
“Saya dapat ribuan sumber siasatan dari seluruh dunia dan kita pilih yang tertentu sahaja untuk dimuat dalam buku ini,” jelasnya apabila ditanya Isham mengenai bukti untuk dakwa Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes 1MDB.
Jawapan berbelit-belit Tokoh Wartawan Terbaik Asia 2016 oleh Society of Publishers selain mampu bertutur bahasa Indonesia, Perancis dan Itali itu ternyata mengecewakan ramai penonton pada pelancaran buku ‘panas’ berkenaan.
“Buku setebal lebih 300 muka ini macam novel fiksyen dan boleh buat filem, tapi bukti langsung tiada. Beliau cuma berdasarkan sumber ‘dengar cakap’!” luah Isham dalam nada kesal menerusi perkongsian video selepas acara itu.
Penulis utama buku ini, Bradley Hope, koresponden WSJ di London, Britain dan calon pusingan final Pulitzer itu, malah banyak berkisar skandal 1MDB dengan sasaran utama ialah ahli perniagaan berasal Pulau Pinang, Jho Low.
Peliknya, Billion Dollar Whale mendakwa konon Najib terlibat dalam penyelewengan syarikat pelaburan kerajaan Malaysia itu menerusi dana berjumlah RM2.6 bilion, tetapi tiada bukti dikemukakan penulisnya. – Mynewshub.TV