KOTA KINABALU – Ratusan penyokong Tan Sri Musa Aman sudah mula berkumpul di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi menyambut kepulangan bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dijadual pulang hari ini.
Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, dijadualkan tiba pada jam 12.30 tengah hari, namun ada penyokongnya yang dilaporkan tiba di terminal itu sejak jam 8 pagi lagi.
Tinjauan mendapati, polis turut melakukan kawalan dan pemeriksaan terhadap kenderaan yang memasuki kawasan terminal.
Kebanyakan penyokong kemudian diminta meletakkan kenderaan kira-kira 300 meter dari bangunan terminal bagi mengelakkan kesesakan.
Penyokong yang berada di dalam bangunan terminal juga diarahkan keluar oleh pasukan keselamatan.
Antara yang kelihatan ialah Ketua Wanita UMNO Sabah yang juga bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Jainab, ketika ditemui, berkata kehadirannya bersama rombongan hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada Musa.
Musa yang berada di London sejak pertengahan Mei lalu kerana mendapatkan rawatan kesihatan, kembali ke Malaysia pada 21 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.
Beliau perlu mengangkat sumpah sebagai ADUN sebelum 11 September ini, atau hilang kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu. – BH ONLINE