PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar lebih banyak hospital swasta melaksanakan Inisiatif Hospital Rakan Bayi bagi membantu para ibu terutamanya ibu-ibu muda yang kurang berkeyakinan untuk memulakan penyusuan susu ibu semasa mereka berada di hospital.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata buat masa ini hanya 10.9 peratus atau 19 daripada 175 buah hospital swasta yang telah menerima pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi.
Selain itu, katanya kesemua hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.
“Ia telah memberi kesan yang besar terhadap peningkatan amalan penyusuan susu secara eksklusif di Malaysia,” katanya pada majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 peringkat kebangsaan di sini malam ini.
Jelas beliau, Hospital Rakan Bayi merupakan inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di mana sebagai Hospital Rakan Bayi, hospital perlu melaksana 10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya menggunakan standard “Kriteria Global Inisiatif Hospital Rakan Bayi WHO/UNICEF”.
— LAGI
WANAZIZAH-SUSU 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Dr Wan Azizah memaklumkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga pada 2016 menunjukkan bahawa hampir kesemua atau 98 peratus ibu di Malaysia mengatakan mereka pernah menyusukan bayi dengan susu ibu.
“Tinjauan yang sama juga menunjukkan terdapatnya peningkatan prevalens penyusuan susu ibu secara eksklusif pada umur enam bulan. Ini merupakan peningkatan hampir tiga kali ganda iaitu 14.4 peratus pada 2006 kepada 47.1 peratus pada 2016,” katanya.
Beliau berkata diharapkan prevalens tersebut akan terus meningkat kepada 70 peratus seperti mana sasaran bagi Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia 2016-2025.
Malah, ujar beliau, data menunjukkan telah wujud kesedaran dalam kalangan para ibu bapa bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan amat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan anak-anak.
Dr Wan Azizah juga berkongsi pengalaman menonton iklan suatu masa dulu yang menunjukkan betapa gebunya seorang bayi kerana meminum susu formula.
“Namun sebaliknya yang terjadi di negara Afrika, ramai bayi mati kerana meninggalkan susu ibu.
“Ini satu jenayah. Bahkan ia menunjukkan pentingnya susu ibu dan untuk melawan iklan yang menggalak susu formula,” katanya. – BERNAMA