SANDAKAN – Penggabungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti pada Mac lepas diharap dapat memastikan institusi itu kekal relevan dan menjadi peneraju institusi Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohammad Naim Yaakub berkata penggabungan itu melibatkan 36 politeknik dan 94 kolej komuniti di seluruh negara.
Katanya pemerkasaan TVET bagi pembelajaran di politeknik adalah usaha untuk melahirkan graduan berkemahiran yang berkualiti sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Ketika ini sistem tersebut berupaya menyediakan modal dan tenaga kerja yang dihasilkan menerusi graduan pada peringkat sijil dan diploma yang ditawarkan di politeknik, katanya ketika merasmikan sambutan Sedekad dan Hari Kerjaya Politeknik Sandakan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Politeknik Sandakan Tajul Ariffin Mohamed Arif.
Mohammad Naim berkata menerusi penggabungan itu, seluruh tenaga kerja terlibat perlu memastikan graduan yang dihasilkan berkualiti menerusi penyediaan institusi pendidikan yang kondusif.
“Kita juga akan memberi fokus dalam memperkaya bakat pelajar, di samping terus berusaha untuk memantapkan lagi perkongsian ilmu daripada pihak industri dan komuniti kepada pelajar,” katanya.
Terdahulu, Tajul Ariffin dalam ucapannya berkata sejak ditubuhkan pada Mei 2008, Politeknik Sandakan hingga kini melahirkan 809 graduan menerusi program Diploma Agrotekologi, Diploma Akuakultur dan Diploma Pengurusan Pelancongan.
Katanya institusi itu memulakan operasi di Politeknik Kota Kinabalu sebelum berpindah ke kampus sementara di Bandar Labuk Jaya Sandakan pada Jun 2009 dan beralih ke kampus tetap di Hab Pendidikan Batu 10 Sandakan pada Disember 2011.
Majlis tersebut turut menyaksikan acara Pembaharuan dan Menandatangani Sijil Kerjasama Strategik antara Politeknik Sandakan dengan Kelab Ragbi Eagle, Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) serta Agri-Biotech Marketing Sdh Bhd. – BERNAMA