TEGURAN berulang kali dilontarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung ketidakpuasan hati terhadap barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya disusuli dengan tindakan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata komen itu jelas beri gambaran ia perkara sangat serius dan sepatutnya mesti disusuli tindakan anggota Kabinet sebagai respon untuk melakukan perubahan.
“Bukan sahaja Perdana Menteri tidak puas hati, malah pelbagai pihak punyai perasaan yang sama dan jika penilaian prestasi Kabinet Kerajaan PH dibuat oleh rakyat pada ketika ini, sangat jelas ia memang mendukacitakan sekali.
“Umpamanya isu pelantikan Menteri Pendidikan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), apabila Perdana Menteri sendiri membuat komen, ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sebelum itu.
“Justeru, saya nampak perubahan tidak dilakukan dan ini menampakkan kelemahan ketara kepada kerajaan PH. Pada saya, kalau dikatakan bahawa mereka baru dan tiada pengalaman ia suatu yang tidak boleh diterima.
“Ini kerana sudah lebih empat bulan kerajaan PH memerintah negara ini malah kerajaan didokong oleh kakitangan kerajaan yang berpengalaman,” kata Shamsul Anuar menerusi satu kenyataan media di ibu negara pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, sangat tidak adil jika Mahathir menyalahkan penjawat awam apabila berlaku kelemahan prestasi kerajaan apatah lagi mendakwa mereka terlalu taksub kepada Barisan Nasional (BN).
“Sewaktu kerajaan BN memerintah dahulu pun bukan semua kakitangan kerajaan menyokong BN, jadi keadaan yang sama juga berlaku sebenarnya. Malah, prestasi kerajaan pada hari ini sepatutnya mestilah sangat baik.
“Pada saya, apa yang penting ialah kredibiliti pemimpin itu sendiri kerana kakitangan kerajaan akan melaksanakan semua arahan jika mereka ada pemimpin punyai wawasan, berwibawa, dan dihormati serta nilai positif yang lain.
“Namun jika semua nilai ini kurang ia akan menyebabkan prestasi yang diharapkan tidak tercapai. Inilah berlaku pada kerajaan PH,” kata Shamsul Anuar merujuk kelemahan banyak dasar kerajaan baharu yang agak cacamarba.
Ujarnya lagi, tidak kiralah siapa mencadang barisan Kabinet, tetapi Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kerja dan prestasi mereka apatah lagi beliau punyai kuasa mutlak melantik atau menggugurkan mereka.
“Jadi jika prestasi mereka mendukacitakan, ia juga menggambarkan kelemahan Mahathir sendiri,” kata beliau yang buat perbandingan dengan pentadbiran BN sebelum ini berjalan lancar meskipun ramai penjawat awam pro-PH.
Semalam, Mahathir membuat kejutan apabila berkata beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri PH sejak dilantik memegang portfolio masing-masing dalam kerajaan baharu.
“Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (telah diarahkan), telah dibuat kelmarin, bukan dibuat hari ini,” ujar beliau dalam nada begitu angkuh sehingga dikritik banyak pihak. – Agensi/Mynewshub.TV