MELAKA – Kementerian Dalam Negeri akan memperluas pelaksanaan program pemulihan di luar penjara susulan kejayaan projek rintis dengan sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang yang bermula pada awal tahun ini, melibatkan kira-kira 20 banduan.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata menerusi program itu, kementerian akan bekerjasama dengan syarikat swasta dan berkaitan kerajaan bagi membolehkan banduan dibawa keluar dari penjara untuk bekerja di sektor tertentu serta kembali ke penjara selepas tamat waktu bekerja.
“Antara sektor pekerjaan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan ialah perladangan, pembuatan, perkhidmatan dan perkilangan. Menerusi program ini juga majikan akan membina asrama untuk banduan dan mereka akan ditempatkan di sana serta tempat itu akan digazetkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Pentadbir Koreksional Asia dan Pasifik (APPCA) ke-38, di sini hari ini.
Beliau berkata program tersebut antara lain bertujuan mengurangkan kadar residivis atau kes banduan berulang, menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan selepas mereka selesai menjalani hukuman dan mengurangkan yang ditanggung kerajaan untuk mengurus banduan.
Pelaksanaan program itu juga seiring dengan hasrat kementerian yang menyasarkan dua pertiga daripada jumlah banduan di seluruh negara menjalani pemulihan di luar penjara pada 2030, katanya.
“Program pemulihan di luar tembok penjara sebelum ini telah dilaksanakan untuk Orang Diparol (ODP) pada 2008 dan kesan yang diperoleh adalah positif dengan kadar residivis atau kes banduan berulang masuk penjara ialah kira-kira 0.04 peratus,” katanya.
Menurutnya banduan yang mengikuti program pemulihan di luar penjara itu akan dipilih oleh jawatankuasa khas dan hanya untuk mereka yang hukuman berbaki bawah setahun.
Banduan terbabit akan dipantau oleh pegawai penjara bagi memastikan mereka bekerja dengan baik, katanya.
APPCA selama enam hari yang bermula semalam itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman. Hadir sama Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari 29 negara anggota, bertujuan membincangkan isu-isu kepenjaraan dan program pemulihan banduan. – BERNAMA