SUNGAI PETANI – Prudential BSN Takaful (PruBSN) menawarkan pelan perlindungan lengkap seawal 14 minggu kepada anak dalam kandungan menerusi PruBSN Impian iaitu pakej terbaharu PruBSN yang diperkenalkan pada Julai lepas.
Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pelan itu didatangkan bersama satu lagi pelan baharu iaitu PruBSN Setia, yang menyasarkan golongan pekerja yang ingin menaiktaraf pelan perlindungan sedia ada.
“PruBSN Impian menyediakan ibu hamil dengan perlindungan pranatal, perubatan, penyakit kritikal dan simpanan bagi memastikan perlindungan sepenuhnya dari usia kandungan seawal 14 minggu hinggalah bayi dilahirkan
“Kedua-dua pakej ini adalah berasaskan kepada pelan takaful utama PruBSN AsasLink yang menyediakan manfaat kematian dan kehilangan upaya kekal dan menyeluruh bersama pilihan pelan tambahan,” katanya kepada Bernama pada Program PruBSN Bersama Pelanggan di sini, hari ini.
Wan Saifulrizal berkata menerusi caruman bulanan serendah RM100 pelanggan pelan PruBSN Impian layak mendapat perlindungan RM100,000 ke atas manakala untuk pelan PruBSN Setia yang hanya mengenakan caruman serendah RM50 sebulan melayakkan pelanggan mendapat perlindungan melebihi RM20,000.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelan PruBSN Setia merupakan pakej takaful lengkap untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan tambahan dan masa depan kewangan lebih terjamin kerana ia menggabungkan pelan perubatan, penyakit kritikal, kemalangan dan penggantian pendapatan.
“Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menambah ciri perlindungan kesihatan ‘HealthProtector’, iaiyu pelan perubatan yang disediakan bersama pakej baharu itu yang membayar balik perbelanjaan hospital dan rawatan pesakit luar.
“Ia akan memberikan perlindungan secara berterusan tanpa had tahunan dan tiada had umur,” kata Wan Saifulrizal.
Katanya, orang ramai boleh berkunjung ke cawangan PruBSN di seluruh negara iaitu di Sungai Petani, Ipoh , Wangsa Maju, Shah Alam, Johor Bahru, Melaka, Kota Bharu dan Kota Kinabalu untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita juga mempunyai 16,000 ejen-ejen perunding yang boleh membantu menerusi promosi-promosi yang dijalankan bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan, kelebihan dan manfaat yang bakal diperolehi dari pelan PruBSN ini,” katanya yang menyasarkan sejuta pelanggan menjelang akhir tahun ini berbanding 850,000 pelanggan setakat ini.
Program yang bermula seawal 8 pagi tadi berjaya menarik kira-kira 100 pengunjung yang antara lain menyertai Senaman Zumba, pemeriksaan kesihatan secara percuma serta sesi sembang kesihatan bertajuk ‘Rahsia Serangan Jantung’.
Selain itu, program pemeriksaan antenatal untuk ibu mengandung, derma darah, permainan pancing botol, bina menara, ketuk kacang, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan cabutan bertuah turut diadakan sempena penganjuran program berkenaan.
Program bertujuan meningkatkan kesedaran pelanggan dan komuniti mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta kesejahteraan diri itu turut mendapat kerjasama Pusat Pakar Amanjaya, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Pakar Metro Sungai Petani dan Pusat Pendidikan Awal Little Caliphs. – BERNAMA