SEREMBAN – Dua anggota polis masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal direman lima hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dakwaan terlibat rasuah.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban Mas Azmimin Ahmad terhadap kedua-dua anggota polis berumur 24 dan 35 tahun itu yang bertugas di Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor, selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Mohd Khairi Abdul Karim.
SPRM Negeri Sembilan dalam kenyataan di sini, hari ini berkata kedua-dua mereka ditahan semalam pada 4.30 hingga 5 petang di pejabat suruhanjaya itu selepas dipanggil memberi kenyataan.
Mereka didakwa telah meminta suapan RM800 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak menahan seorang pekerja warga Bangladesh yang dikatakan memiliki salinan kad sementara (E-Kad) tidak sah di jalan masuk Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), dari Seri Kembangan menuju ke Shah Alam, 16 Mei lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA