KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta untuk tidak berpuas hati dengan keadaan semasa ekonomi negara kerana hakikatnya tidak seperti digambarkan.
Mengambil contoh kedudukan mata wang negara ketika ini, Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon mendakwa, sejak ditadbir Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei lalu, ringgit merupakan antara empat mata wang di Asia Tenggara yang mengalami penyusutan nilai paling mendadak selain Myanmar, Indonesia dan Filipina.
Selain itu, berdasarkan pengiraan, beliau mendapati ringgit mengalami penurunan sebanyak negatif 2.56 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) antara tempoh 9 Mei 2018 sehingga 12 September 2018.
“Justeru, jika Guan Eng mahu membuktikan bahawa kadar pertukaran ringgit semakin bertambah baik sejak berlaku pertukaran kerajaan, saya cadangkan beliau menggunakan data dari 9 Mei 2018 ke atas dan bukannya dari 1 Januari 2018,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE