MILAN – Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol dalam Serie A Itali ketika membantu Juventus menang 2-1 ke atas Sassuolo di Turin awal pagi ini.
Bagaimanapun bukan satu malah dua gol sekali gus disumbangkannya di babak kedua sekaligus menamatkan kemarau jaringan dan mengekalkan rekod bersih kelab baharunya itu selepas empat perlawanan awal musim ini.
Gol pertama Ronaldo dijaringkan mudah sahaja apabila dia hanya menampan bola muntah hasil pergelutan di depan gol lawan pada minit ke-50 manakala gol keduanya yang menyusul 15 minit kemudian dihasilkan menerusi serangan balas pantas yang digerakkan Emre Can.
Ronaldo, 33, yang dijual Real Madrid dengan harga 100 juta euro (RM475j) sepatutnya menjaringkan dua lagi gol selepas itu tetapi mensia-siakannya sehingga menyaksikan dia menyepak tiang gol kerana kecewa. – AFP