BANDAR SERI BEGAWAN – Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Malaysia dikutuk umat Islam kerana ancam mahu tutup pusat tahfiz hanya kerana satu kes liwat, lain pula halnya di Brunei.
Tidak seperti di Malaysia apabila ada pemimpin PH marah pihak sekolah mewajibkan pelajar Muslim solat fardu di surau sekolah sebelum balik ke rumah sebagai mana dilakukan di Brunei, syiar Islam di negara kecil ini terus gah.
Terkini, kejayaan sistem pendidikan Islam di Brunei berjaya tarik perhatian negara terbesar di dunia untuk belajar contohi berbanding situasi jirannya yang menyaksikan pentadbiran PH tidak serius pertahan kesucian agama itu.
Malahan Timbalan Mufti Persekutuan Rusia, Rushan Abbyasov dan delegasi yang dalam rangka lawatan ke Brunei selama lima hari berkongsi perasaan terpegun dengan model pengajaran dan pembelajaran Islam di negara ini.
Beliau semalam mengadakan lawatan ke masjid kemegahan negara dan tarikan pelancong, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara disambut Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid Mohd Salleh.
Terdahulu, rombongan diberi taklimat mengenai masjid tersebut melalui tayangan video korporat, diikuti lawatan sekitar masjid. Mereka kemudian melawat ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Baca: Gaya Sultan Brunei ‘Spot Check’ Institut Tahfiz
Juga: Saudi Hantar ‘Isyarat’ Mula Jauhi Malaysia?
Dalam lawatan ke institut itu, Rushan ketika ditemui media tertarik menyaksikan sistem program pembelajaran Al-Quran yang terdapat di ITQSHHB ditambah dengan keindahan seni bina bangunan khas yang dibangun pada 1993.
Beliau menjelaskan, pada masa ini, umat Islam bukan sahaja di Rusia bahkan seluruh dunia amat memerlukan ummah untuk lebih mendalami lagi agama seperti pengajian Al-Quran, hadis dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Bukan setakat itu, Rushan kagum institut ini juga menyediakan biasiswa dan delegasi itu banyak raih pengalaman daripada ITQSHHB sebagai satu usaha yang baik dalam melahirkan generasi sempurna pada masa akan datang.
Rombongan Rusia itu turut mengadakan lawatan ke musola dan perpustakaan sebelum hadiri taklimat mengenai penubuhan ITQSHHB serta pencapaian yang diperoleh sejak ditubuhkan kerajaan Brunei lebih 20 tahun lepas.
Kata beliau lagi, “Beberapa tahun yang lalu, qari Brunei pernah telah menyertai dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa di Moscow dengan qari Brunei berjaya menduduki tempat pertama pertandingan tersebut.”
Baca: Brunei Perkasa Sistem Beraja, Daulat Islam
Juga: Sultan Brunei Wajib Murid Solat Di Sekolah
Rushan seterusnya berharap akan dapat jalin kerjasama dengan Brunei dalam bidang Al-Quran pada masa akan datang. Delegasi dialu-alukan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Abdul Aziz Yussof.
Pada sebelah petang, rombongan itu berpeluang melawat Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Kampung Katok dekat Universiti Brunei Darussalam dan Maahad Islam Brunei.
Mereka dibawa lawat ke bilik darjah serta berpeluang lihat sistem kokurikulum pendidikan sekolah sekali gus diberi penerangan mengenai sistem penyampaian yang menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris mengikut subjek.
Ketibaan delegasi ke sekolah tersebut diraikan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd. Serudin Haji Timbang dan pengetua sekolah itu, Dayang Hajah Rusidah Talip.
Rombongan tiba Isnin lalu dan lawatan berakhir pada 28 September. Dianggarkan ada hampir 30 juta umat Islam di Rusia dengan lebih 8,000 buah masjid di seluruh negara pasca kejatuhan Kesatuan Soviet. – Agensi/Mynewshub.TV