KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 bukan usul pertama yang ditolak dalam sejarah persidangan Dewan Negara.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran berkata penolakan terhadap sesuatu RUU pernah terjadi sebelum ini melibatkan RUU Racun Makhluk Perosak (Pindaan) 2004.
“RUU Racun Makhluk Perosak (Pindaan) 2004 telah dihantar semula ke Dewan Rakyat untuk dimaklumkan dan kemudiannya RUU itu diluluskan.
“Kalau Dewan Negara ingin menolak RUU tersebut, ia dibolehkan untuk menolaknya tetapi RUU akan kembali ke Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Persidangan Dewan Negara hari ini menolak RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.
Perkara itu diumumkan Vigneswaran selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.
RUU yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos setelah bacaan kali ketiga. – BERNAMA