KOTA KINABALU – Rekod tanpa kalah Sabah dalam saingan Piala Malaysia lebur di laman sendiri apabila tewas 0-4 kepada Pahang pada perlawanan tunggal Piala Malaysia di Stadium Likas di sini, malam ini.
Namun, Sabah dan juga Pahang telahpun lebih awal mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir, yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini, selepas mengharungi lima perlawanan sebelum ini.
Pada perlawanan malam ini yang ditunda semalam bagi menghormati sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung di sini, Pahang mengejutkan tuan rumah Sabah seawal minit kesembilan dengan gol pertama hasil tandukan mudah Norshahrul Idlan Talaha.
Tuan rumah dikejutkan lagi dengan gol kedua Pahang menerusi Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri pada minit ke-38.
Sekali lagi Sabah dihampakan dengan gol ketiga Pahang menerusi tandukan Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-78.
Pahang terus menyumbangkan gol pada minit terakhir (90’) permainan menerusi Issey Farran Morgan Nakajima untuk menang selesa. – BERNAMA