SANDAKAN – Promosi produk pelancongan yang terdapat di daerah ini perlu ditingkatkan bagi meningkatkan jumlah kunjungan pelancong.
Justeru, Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sabah memainkan peranan itu bagi menangani kekurangan pelancong berkunjung ke daerah ini.
Presiden persatuan itu Johnny Lim berkata daerah ini mempunyai banyak produk pelancongan berasaskan alam semulajadi dan hidupan liar untuk ditawarkan kepada pelancong asing dan domestik.
Katanya pelbagai pakej disediakan oleh pengusaha pelancongan di daerah ini dan bilik di pusat penginapan serta hotel yang sedia ada juga mencukupi untuk menampung pelancong.
Faktor kurangnya promosi antara yang menyebabkan kunjungan pelancong ke daerah ini masih rendah khususnya kalangan pelancong dari Eropah dan China, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata beberapa faktor yang menyebabkan kekurangan jumlah kunjungan pelancong itu dan cadangan mengatasinya telah dikemukakan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Christina Liew pada lawatannya ke daerah ini baru-baru ini.
Johnny berharap cadangan yang dikemukakan itu khususnya berkaitan promosi, penambahan penerbangan terus dan naik taraf Lapangan Terbang Sandakan ke antarabangsa dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari China datang ke daerah ini, beliau berkata Pulau Bakkungan Kecil di Taman Pulau-Pulau Penyu boleh dipromosikan kepada pelancong dari negara itu.
Katanya pelancong dari negara itu merupakan paling ramai datang ke negeri ini gemar aktiviti laut dan ke pulau pada masa sekarang tertumpu di Kota Kinabalu dan Semporna.
Katanya pulau Bakkungan Kecil dibawah pengurusan Taman-Taman Sabah yang terletak 40 minit perjalanan menaiki bot dari Bandar Sandakan mempunyai pantai dan perairan yang menarik untuk dikunjungi pelancong.
Menurutnya hanya bayaran permit masuk ke pulau itu sebanyak RM60 untuk pelancong asing perlu dikaji semula berbanding RM20 untuk bayaran permit di pulau-pulau Taman Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu. – BERNAMA