DALAM hanya beberapa tahun akan datang saja atau lebih cepat, syarikat-syarikat media bakal gulung tikar atau berkubur tanpa nisan.
Bukan kerana kandungan bahan yang dipaparkan tidak menarik hingga menyebabkan orang ramai hilang selera untuk membacanya, tetapi bisnis ini tidak lagi menguntungkan dan lebih parah hasil titik peluh mereka dirompak sewenang-wenang dua gergasi Google dan Facebook.
Isu dua gergasi ini yang menguasai media sosial sering dibincang di dalam forum-forum atau persidangan media antarabangsa, tetapi hasilnya memang tidak memberangsangkan.
Kerakusan makhluk maya ini menyebabkan semakin hari, semakin kurangnya minat syarikat untuk melabur di dalam bidang media kerana sedar cabaran yang terlalu berat perlu dihadapi.
Bayang jika iklan disiarkan, syarikat media hanya memperolehi tidak sampai satu sen, sedangkan dua gergasi itu melahap hampir satu ringgit, di mana letaknya keadilan dan bagaimana syarikat media boleh hidup.
Dua gergasi kejam itu bukan sahaja menjadi pesaing, bahkan mereka menjadi perompak di siang hari dan tiada siapa yang boleh mengambil tindakan terhadap perbuatan tersebut kerana ia disokong oleh pengguna yang mahu berita percuma.
Google dan Facebook melakukan ‘rompakan’ apabila mengambil berita-berita secara percuma dan sebagai penyelesaian syarikat gergasi internet berkenaan dipaksa supaya berkongsi pendapatan dengan mereka.
Kenyataan itu diterbitkan dalam satu ruangan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada lebih 20 agensi berita termasuk Agence France-Presse (AFP), Persatuan Akhbar Britain dan Deutsche Presse-Agentur dari Jerman menyeru Parlimen Eropah mahukan undang-undang hak cipta di Kesatuan Eropah (EU) dikemaskini bagi membantu menangani apa yang berlaku itu.
Para penggubal undang-undang Parlimen Eropah akan membahaskan undang-undang hak cipta baharu bulan ini yang akan memaksa syarikat-syarikat gergasi internet tersebut membayar lebih bagi kandungan kreatif yang digunakan dalam platform mereka seperti berita, muzik atau filem.
Draf pertama undang-undang berkenaan ditolak pada Julai lalu dan cadangan itu ditentang hebat oleh firma teknologi AS, serta penyokong kebebasan internet yang bimbang peraturan tersebut boleh membawa kepada peningkatan kos kepada pengguna.
Menurut agensi-agensi terbabit, Facebook melaporkan pendapatan sebanyak AS$40 bilion (RM165.5 bilion)) pada tahun lalu dengan jumlah keuntungan sebanyak AS$16 bilion (RM66.2 bilion) sementara Google memperoleh AS$12.7 bilion (RM52.5 bilion) daripada hasil jualan sebanyak AS$110 bilion (RM455 bilion).
Mengapa mereka perlu tamak dengan menyedut segala keuntungan dan enggan berkongsi dengan syarikat media yang menyediakan bahan.
Apa yang diperkatakan adalah memperkenalkan pembayaran yang adil kepada mereka yang ‘mencuri’ berita-berita. Demi kebebasan akhbar dan nilai-nilai demokratik.
Di Malaysia pihak pemerintah seolah-olah tidak berminat untuk mengambil tahu isu ini yang sebenarnya menjadi punca kepada bercambahnya berita palsu sehingga menggugat keselamatan negara.
Mungkin sudah tiba masa undang-undang di negara ini juga perlu dikaji supaya syarikat media di negara ini tidak gulung tikar dan akhirnya yang tinggal hanya berita-berita sampah yang menjadi santapan masyarakat setiap hari. – UTUSAN ONLINE